Berita UtamaDunia

UK ikut jejak AS tarik semua tentera dari Afghanistan

Perang berlanjutan lebih lama daripada dua perang dunia, namun apa yang dicapai?

LONDON, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – United Kingdom (UK) akan menarik hampir semua tenteranya dari Afghanistan, selepas Joe Biden memutuskan pasukan Amerika Syarikat (AS) akan meninggalkan negara itu sebelum ulang tahun ke-20 serangan pengganas 11 September tahun ini.  

Kira-kira 750 tentera Britain ditempatkan di Afghanistan, tetapi sumber mengatakan mereka akan menghadapi kesukaran tanpa sokongan AS kerana bergantung pada pangkalan dan infrastruktur negara itu.

Penempatan tentera di Afghanistan juga dilaporkan membebankan pembayar cukai Britain sebanyak lebih daripada £37bn dan pembayar cukai AS sebanyak $2.4 trilion.

Lebih 100,000 orang awam Afghanistan, 454 tentera Britain dan 2,488 tentera AS telah terbunuh sepanjang peperangan.

Ia merupakan perang terpanjang AS bahkan berlangsung dua kali lebih lama berbanding tempoh kedua-dua perang dunia jika digabungkan.  

“Namun apa yang telah dicapai?,” soal pemerhati dan wartawan, Ahmed Kaballo.

Ramai juga mempersoalkan mengapa AS dan UK mengambil masa yang begitu lama untuk menerima hakikat ‘yang tidak dapat disangkal’ bahawa ini adalah perang yang mereka tidak boleh menang. 

Pengganas Taliban yang mereka ingin singkirkan, malah bersedia untuk kembali berkuasa dan menguasai sebahagian besar negara.  

Kumpulan pengganas Takfiri seperti Al-Qaeda masih ada di negara itu dan kumpulan baru seperti Daesh pula muncul.  

Lebih-lebih lagi, Afghanistan kini menyumbang 93 peratus daripada bekalan heroin haram dunia dengan pengeluaran heroin yang mencapai tahap tertinggi pada tahun 2017.

Speaker Parlimen Afghanistan, Mir Rahman Rahmani, memberi amaran bahawa penarikan pasukan tentera asing dalam keadaan semasa akan menyebabkan perang saudara meningkat.

Ini kerana, kata Ahmad Kabello, ramai berpendapat bahawa pemerintah ketika ini tidak cukup kuat untuk mengekalkan kekuasaan.

Afghanistan telah mendapat gelaran ‘Graveyard of Empires’ kerana kegagalan empayar demi empayar, kerajaan demi kerajaan untuk menakluki dan menenangkan rakyat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button