Berita Utama

Kes belasah pekerja kerana puasa sama seperti hina Islam

Menteri sebagai pelindung agama mesti tunjuk sikap tegas, bijaksana

 

BANGI, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Menteri di negara ini mesti melihat isu pengawal peribadi dipukul bukan sebagai isu kecil kerana membabitkan penghinaan ke atas agama Islam.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim sebaliknya berkata, menteri mesti melihat isu itu dari sudut mempertahankan kesucian agama.

Tambahan pula, katanya, ibadah puasa adalah salah satu daripada Rukun Islam.

“Menteri sebagai pelindung agama mesti tunjukkan ketegasan, pendekatan bijaksana kerana menjaga angka undi demi kelangsungan kuasa adalah satu kesilapan yang tiada khilaf.

“Berkaitan isu menghina maruah orang Islam dan agama Islam, Saidina Omar al-Khattab pernah menghukum seorang kafir zimmi setelah didapati dengan pasti kafir zimmi tersebut mencabul maruah seorang muslimah.

“Pencabulan tersebut hanya baru terkait dengan maruah seorang muslimah, isu memukul kerana berpuasa bukan hanya terkait dengan maruah individu, malah ianya termasuk menghina agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden dua pengawal peribadi dipukul majikan dikatakan kerana berpuasa, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Isu orang berpuasa ini besar dalam negara…ada sesuatu yang tidak betul (dalam kejadian ini),” katanya.

Khamis lalu, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah reman terhadap empat individu termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, pihaknya berharap kerajaan supaya bertegas dengan apa juga isu yang menyentuh agama Islam.

Tambahnya, rakyat sudah cerdik dan pandai menilai selain mahu melihat ketegasan yang bukan hanya di peringkat awal sahaja.

“Oleh kerana rakyat semua bising maka kerajaan pun tunjuk juga kebisingannya, tetapi selepas itu isu menghina agama ini selesai hanya dengan permohonan maaf dari pihak majikan yang menghina agama.

“Saya tidak nampak permohonan maaf dari majikan yang menghina agama sebagai pendekatan berhikmah, sebaliknya hanya sekadar demi menagih undi dan kelangsungan kuasa diri untuk terus kekal di pentas kerjaya politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button