Berita Utama

8 individu disyaki terbabit video promosi judi ditahan

Polis berusaha kesan dalang sebenar di sebalik ‘GDBet333 Hari Raya’

BANGI, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Polis menahan lapan individu yang disyaki terbabit dalam penggambaran video promosi judi atas talian yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Penahanan lima lelaki dan tiga wanita itu membabitkan pelakon, ejen artis, juruvideo serta produser dan pengarah video berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima sebanyak 38 laporan polis berkaitan video tular itu.

Beliau berkata, semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac lalu.

“Kesemua suspek akan direman bagi siasatan lanjut. 

“Kelapan-lapan individu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video itu masih diteruskan.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, tular klip video berjudul ‘GDBet333 Hari Raya’ yang tampil mengajak orang ramai menggunakan servis judi untuk meraih wang berganda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button