Dunia

Bimbang varian baharu, Brazil minta tangguh kehamilan

Varian P.1 bertindak lebih agresif pada wanita mengandung

SAO PAULO, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Brazil meminta wanita di negara ini menangguhkan rancangan kehamilan susulan virus varian baharu yang melanda Amerika Selatan lebih banyak mempengaruhi individu mengandung berbanding versi sebelumnya.  

Saranan itu dibuat kerana Brazil terus menjadi salah satu pusat wabak global, ekoran ramai penduduknya meninggal dunia setiap hari berbanding negara-negara lain.

Kebanyakan hospital di Brazil hampir lumpuh dengan stok ubat-ubatan yang diperlukan untuk intubasi pesakit semakin berkurangan, sehingga terpaksa mendapatkan bantuan daripada rakan antarabangsa. 

“Maka, sebolehnya tangguh dahulu rancangan kehamilan sehingga wabak beransur pulih,” kata pegawai Kementerian Kesihatan, Raphael Parente pada pemberita, semalam.

Katanya, cadangan itu juga antara lain disebabkan oleh tekanan pada sistem kesihatan dan varian baharu yang lebih mudah merebak dikenali sebagai P.1. 

“Pengalaman pakar klinikal menunjukkan bahawa varian baru ini bertindak lebih agresif pada wanita hamil,” kata Parente.

Sebelum ini, kes COVID-19 ketika kehamilan berlaku pada trimester akhir dan kelahiran, namun kebelakangan ini terdapat kes lebih serius pada trimester kedua dan pertama, katanya. 

Varian P.1, pertama kali dijumpai di Manaus, Amazon sebelum ia cepat tersebar di Brazil. 

Ia dianggap sebagai faktor utama gelombang jangkitan kedua yang menyebabkan kematian di negara itu mencecah lebih 350,000 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button