Pendapat

Kes kanak-kanak bunuh diri: Ambil peranan elak tragedi sama berulang

Kanak-kanak golongan rentan perlu diberi perhatian dalam aspek emosi, sosial

1. KES bunuh diri melibatkan kanak-kanak berusia 9 tahun seperti yang dilaporkan baru-baru ini adalah tragedi yang harus dipandang serius oleh semua pihak. Kita sama-sama bersimpati atas apa yang berlaku dan mengingatkan semua pihak agar tidak mensensasikan tragedi ini atau mencipta spekulasi liar berikutan kes tersebut. Diharapkan pihak berwajib, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan mengambil inisiatif memberikan bantuan susulan dalam bentuk kaunseling dan sokongan kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terkesan akibat apa yang berlaku.

2. Kes-kes seperti ini seharusnya menjadi titik penting untuk semua pihak mengambil iktibar dan bertindak secara kolektif bagi mengelakkan tragedi seterusnya dari berulang.

3. Secara global, bunuh diri adalah punca kematian kedua paling lazim dalam kalangan remaja dalam lingkungan usia 15 ke 24 tahun. Kebanyakkan kes berkait rapat dengan penyakit mental seperti kemurungan. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan bahawa lebih 50 peratus kes-kes berkait dengan masalah mental bermula seawal usia sebelum 14 tahun.

4. Kanak-kanak dan remaja adalah golongan rentan yang perlu diberi perhatian serius. Terutama dalam aspek perkembangan emosi dan sosial mereka. Di kalangan kanak-kanak, kes bunuh diri selalunya berlaku secara impulsif, tanpa perancangan, pada waktu emosi mereka terganggu dengan perasaan sedih melampau, terasa diabaikan, keliru, marah dan kesan trauma dari tekanan hidup. Di kalangan remaja pula, ia lazim berlaku akibat tekanan sosial, masalah tekanan pelajaran atau rakan sebaya, masalah keluarga dan krisis identiti diri.

5. Adalah penting untuk semua pihak, terutama keluarga dan pihak sekolah mengenalpasti golongan berisiko serta tanda-tanda awal yang ditunjukkan golongan ini.

6. Antara risiko yang boleh menyumbang kepada gejala bunuh diri dalam golongan ini ialah kemurungan, sejarah keluarga, pendedahan kepada keganasan rumahtangga, sifat impulsif, sejarah dibuli, rasa tidak boleh dibantu dan putus asa serta kehilangan individu yang penting dalam hidup.

7. Antara tanda-tanda amaran yang pelu dikenalpasti termasuk perubahan pada perilaku termasuk pola tidur dan selera makan, kesedihan melampau dan berpanjangan, menjauhkan diri dari keluarga dan rakan, seringkali mengadu masalah fizikal seperti sakit yang tidak jelas punca, tiba-tiba merosot dari segi pelajaran dan kerap berbicara soal kematian.

8. Masalah mental termasuk kemurungan adalah keadaan yang boleh dirawat. Individu yang mengalaminya tidak perlu menderita sendirian atau mengambil risiko bagi mengakhiri penderitaan. Sekiranya ada dari kalangan orang terdekat anda, tidak kira usia, mengalami masalah berkait dengan kemurungan, bantu mereka untuk mendapatkan rawatan doktor.

9. Keluarga juga perlu memainkan peranan dengan mewujudkan pembesaran yang sihat bagi anak-anak. Mereka perlu diberi kasih sayang, perhatian, bimbingan dan panduan dalam hidup. Bentuk suasana keluarga yang positif dimana emosi anak diberi perhatian dan mereka boleh mendapatkan bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam apa jua keadaan. Elakkan unsur negatif dalam keluarga seperti tekanan, penderaan emosi dan fizikal atau sikap pilih kasih. Pantau perkembangan mereka termasuk kenalan dan pengaruh media sosial kepada anak-anak.

10. Media juga diingatkan untuk tidak mensensasikan berita bunuh diri dengan menonjolkan unsur tidak sihat seperti mendedahkan cara bunuh diri, identiti mangsa dan keluarga. Media juga berperanan mendidik masyarakat tentang bahaya stigma terhadap isu kesihatan mental dan memberi kesedaran tentang kaedah mendapatkan bantuan.

Kenyataan bersama Pakar-pakar Psikiatri Unit Kesejahteraan Mental, I-Medik

Naib Presiden I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria MMed(Psy)(USM),
Dr Nor Tahira Karim, MRCPsych (UK),
Dr Muna Hamiza Asiff, DrPsych (UKM)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button