Berita Utama

KPDNHEP P.Pinang rampas gas LPG bernilai RM22,500

Kementerian pandang serius isu kerana rugikan kerajaan, rakyat

BUKIT MERTAJAM, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 138 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM22,500 dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Minyak di sini semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihaknya menyerbu kawasan tersebut pada 2.30 petang dan mendapati terdapat beberapa individu sedang menjalankan penyelewengan gas LPG namun mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa KPDNHEP.

“Pemeriksaan mendapati, sindiket itu menutup kawasan mereka menjalankan pemindahan gas LPG tersebut dengan memasang zink di satu lot di dalam kawasan kebun ladang sawit berkenaan dipercayai bagi mengelak orang ramai melihat kegiatan itu.

“Modus operandi yang dijalankan sindiket itu ialah memindahkan gas LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50 kg, sebelum menjualnya dan dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 30 tong gas LPG berkapasiti 50 kg dan 108 tong gas LPG berkapasiti 14 kg yang kesemuanya bernilai RM22,500 dan pihaknya memandang serius kegiatan tersebut kerana ia merugikan kerajaan serta rakyat.

Mohd Ridzuan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan kes tersebut disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button