Berita Utama

KPM ambil tindakan terhadap sekolah tetap aktiviti kokurikulum ikut kaum

Tular surat sekolah senarai kelab, persatuan terbuka untuk satu kaum saja di Johor

KUALA LUMPUR, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Tindakan segera dan sewajarnya telah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap sebuah sekolah menengah di Johor, yang dikatakan menetapkan syarat sesetengah aktiviti kokurikulum kepada pelajar tingkatan satu termasuk sukan, hanya terbuka untuk satu kaum sahaja.

Terkejut dan dukacita dengan perkara itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan, panduan yang dikeluarkan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.

“Biarlah anak-anak kita main bersama tanpa mengira siapa mereka. Kita tahu bahawa sukan adalah satu medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan. Dalam bersukan, semua ahli pasukan akan berikhtiar sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.

“Tentunya tidak pernah terlintas di benak fikiran mereka, Aku kaum lain, maka… Tidak sama sekali. Sebab itulah sukan merupakan wadah yang dapat mewujudkan satu semangat kebersamaan yang jitu,” menurutnya dalam satu catatan Facebook hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu dan memuat naik gambar sekeping surat, yang mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina sahaja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button