PEMBELA lapor polis iklan judi, harap tindakan segera
Turut serta NGO lain seperti PPIM, Semboyan serta BADAR
BANGI, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini membuat laporan polis susulan penyiaran iklan yang mengajak umat Islam di negara ini berjudi.
Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat berkata, turut hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Rejimen Semboyan Diraja (Semboyan) dan Skuad Badar (BADAR).
“InsyaAllah, kita dimaklumkan juga malam nanti akan ada lagi sahabat-sahabat NGO lain akan buat laporan polis di IPD Kajang.
“Mari kita sama-sama kita menyokong pihak berkuasa bertindak dan pantau agar jangan sampai kes begini berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan satu lagi penyiaran iklan yang mengajak umat Islam dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular di media sosial ketika ini.
Ia dianggap sebagai perkara yang hanya mendatangkan mudarat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, MCMC sekali lagi telah menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube bagi menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan.
Menurutnya, terdapat pertambahan yang mendadak kepada kandungan dilaporkan kepada penyedia platform berkenaan hari ini, kerana terdapat percambahan dari semasa ke semasa berdasarkan muat naik semula oleh pengguna-pengguna media sosial, yang menyukarkan proses pembasmian penyebaran kandungan.
“Penyebaran video-video sedemikian dimuat naik di platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak dapat dikawal. Manakala kandungan yang dimuat naik tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia bukan di platform tempatan,” katanya.