Berita Utama

Polis cari Loh Kee Hoe, dalang pembikinan 2 video promosi judi

Turut mengesan seorang lelaki, wanita iaitu 2 pelakon video berkenaan

KUALA LUMPUR, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dalang sebenar pembikinan dua video Hari Raya Aidilfitri, yang mempromosi iklan perjudian secara dalam talian.

Lelaki yang kini dicari polis itu dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35, dan beralamat di Kuala Lumpur dan dia dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam mengarah pembikinan dua video mempromosi perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial.

“Selain itu, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dan wanita yang merupakan dua pelakon video kedua yang tular itu, untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Polis turut mengesahkan video pertama dan kedua iklan promosi judi itu adalah daripada produksi yang sama, dan walaupun pelakonnya berbeza polis percaya mereka mengenali antara satu sama lain, dan siasatan polis mendapati pelakon video itu dibayar RM180 seorang.

Beliau berkata, video pertama yang tular semalam dan video kedua yang mula tular pagi ini, jelas sengaja dilancarkan pada bulan Ramadan sekali gus mencemarkan imej Islam dan bulan puasa.

Sehubungan itu, Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video-video yang salah di sisi undang-undang, dan meminta mereka yang mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Zairil Hazly Zulkifli di talian 017-4589997 atau balai polis berhampiran.

“Apa-apa kegiatan yang mempromosi judi adalah satu kesalahan,” katanya sambil memberitahu polis percaya mereka yang di sebalik pembikinan video itu adalah penganjur judi dalam talian di negara ini.

Mohamad Zainal berkata, lapan individu ditahan semalam bagi membantu siasatan kes itu dengan dua daripada mereka iaitu pengarah produksi dan jurukamera video berkenaan, direman sehingga 21 April, manakala enam lagi yang merupakan pelakon dalam video pertama dibebaskan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan media hari ini berkata, lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, penerbit, pengarah penggambaran video berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai kes selebriti terkenal Neelofa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ketika majlis perkahwinannya, Mohamad Zainal berkata siasatan hampir lengkap. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button