Video promosi judi cemar Ramadan, undang kemurkaan Allah SWT: Mufti WP
Cubaan normalkan wasilah yang canggah dengan tuntutan syarak

BANGI, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengingatkan semua pihak di negara ini supaya sentiasa menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, penyiaran klip video sebuah syarikat yang berlatarkan aktiviti perjudian, loteri dan kasino baru-baru ini, secara tidak langsung membangkitkan sensitiviti dalam kalangan umat Islam.
Bahkan, beliau berkata, rakaman klip video bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu juga mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.
“Merujuk kepada isu terbabit, PMWP ingin menyeru kepada umat Islam di negara ini agar menjauhi sebarang bentuk perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
“Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Apatah lagi, Dr Luqman berkata, larangan umat Islam di Malaysia daripada terbabit dengan aktiviti perjudian telah diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Terdahulu, tular klip video berjudul ‘GDBet333 Hari Raya’ yang tampil mengajak orang ramai menggunakan servis judi untuk meraih wang berganda.
Iklan berkenaan menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar dan pelakonnya dipercayai beragama Islam.
Mengulas perkara itu, Dr Luqman percaya motif utama penularan video itu untuk mengajak orang ramai khususnya umat Islam menyertai permainan berkenaan demi kemeriahan sambutan Aidilfitri nanti.
“Dalam maksud yang lain, ia dilihat sebagai satu cubaan untuk menormalkan wasilah yang jelas bercanggah dengan tuntutan syarak dalam ikhtiar mendapatkan keuntungan.
“PMWP ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan ataupun perjudian adalah haram di dalam Islam,” katanya.
Justeru, beliau meminta semua yang terbabit dengan penyiaran klip video berkenaan supaya segera bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan itu.
“Hindarilah sebarang perlakuan yang boleh mendatangkan fitnah kepada diri sendiri, masyarakat dan agama,” katanya.