Berita UtamaDunia

Taliban keluar amaran sekat pelajar wanita duduki ujian ke universiti

Tindakan tegas bakal dikenakan pada universiti tak patuhi larangan

KABUL, 7 Rejab 1444H, Ahad – Meskipun dasar ke atas golongan wanita Afghanistan teruk dikecam antarabangsa, pemerintah Taliban ‘berkeras’ meneruskan larangan itu, bahkan mengenakan sekatan baharu.

Terkini, Taliban menghantar surat peringatan kepada semua universiti swasta Afghanistan supaya tidak membenarkan pelajar wanita menduduki ujian kemasukan ke institusi pendidikan berkenaan.

Sebelum ini, Taliban teruk dikecam antarabangsa dan menggesa supaya dasar itu ditarik balik kerana menyekat kebebasan kaum wanita.

Bulan lalu, Taliban melarang golongan wanita meneruskan pengajian di universiti awam dan swasta.

Menteri Pengajian Tinggi, Nida Mohammed Nadim menegaskan larangan sementara itu dilakukan bagi mengelak percampuran jantina di universiti.

Jurucakap Menteri Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi berkata, surat mengingatkan universiti swasta supaya tidak membenarkan wanita mengambil peperiksaan kemasukan telah dihantar ke semua universiti di negara tersebut.

Bagaimanapun tiada butiran lanjut dijelaskan.

Salinan surat itu dikongsikan dengan agensi berita AP yang memberikan amaran kepada pelajar wanita supaya tidak mengambil ujian kemasukan ke peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.

Malah, mana-mana universiti yang tidak mematuhi larangan berkenaan akan dikenakan tindakan tegas.

Surat berkenaan ditandatangani pegawai Taliban, yang memantau, bahagian hal ehwal pelajar di universiti swasta, Mohammad Salim Afghan.

Ujian kemasukan ke universiti sepatutnya dijalankan pada 27 Februari depan di beberapa universiti.

Universiti di seluruh Afghanistan mempunyai jadual penggal yang berbeza, berikutan perbezaan musim di negara itu.

Sementara itu, jurucakap kesatuan universiti swasta, Mohammed Karim Nasari terkejut dengan surat yang diterima dan menjangkakan akan mengalami kerugian teruk akibat larangan berkenaan.

Afghanistan mempunyai 140 universiti swasta di 24 wilayah, dengan kira-kira 200,000 pelajar.

Daripada jumlah itu, kira-kira 60,000 hingga 70,000 adalah pelajar wanita. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button