Berita Utama

Hadkan kokurikulum untuk satu kaum bertentangan dasar pendidikan

KPM diminta hentikan segera tindakan menjurus kepada polarisasi kaum

BANGI, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) kesal dengan tindakan sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor yang didakwa menetapkan syarat sesetengah aktiviti kokurikulum pelajar tingkatan satu termasuk sukan, hanya terbuka untuk satu kaum sahaja.

Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan itu sama sekali bertentangan dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Malah, turut bertentangan dengan salah satu aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mahu memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

“Aktiviti sukan merupakan salah satu aktiviti ko-kurikulum yang bertujuan mewujudkan perpaduan kaum dan intergrasi nasional. 

“i-Guru melihat perkara seperti ini tidak wajar berlaku setelah lebih 60 tahun kita merdeka.

“Sedangkan Penyata Razak menyebut tujuan akhir pelajaran ialah menyatupadukan semua kaum melalui satu sistem pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, i-Guru menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghentikan tindakan yang menjurus kepada polarisasi kaum. 

“Sukan sewajarnya menjadi alat perpaduan bangsa dan elemen intergrasi nasional,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna akaun Twitter (@sharwinsubra05) mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu di laman sosial tersebut.

Pengguna berkenaan memuat naik gambar sekeping surat yang mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina sahaja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button