Berita Utama

Kenakan hukuman paling berat pada majikan belasah pekerja

‘Dia hina agama Islam, jangan fikir dia boleh buat apa sahaja’

BANGI, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Hukuman paling berat mesti dikenakan terhadap majikan yang memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya kerana berpuasa. 

Ini kerana, majikan berusia 43 tahun itu bukan sahaja didakwa menyebabkan kecederaan kepada pekerjanya, tetapi lebih serius lagi kerana menghina agama Islam, tegas Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. 

“Dia menghina agama Islam. Dia menghina Allah. Dia bukan Islam tetapi memaksa orang Islam jangan berpuasa.

“Dia memukul dan mencederakan. Dia mengacukan pistol kepada mangsa. Dia gangster. Jangan fikir dia boleh buat apa sahaja.

“Setelah menghina dan mencederakan orang Islam berpuasa baru nak minta maaf kepada YDP Agong? Harap pihak berkuasa jangan berkompromi. Hukuman paling berat mesti diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau turut mempersoalkan sama ada majikan tersebut akan meminta maaf seandainya dua pengawal peribadi yang menjadi mangsa pukul tidak membuat laporan polis.

“Apakah dia akan meminta maaf jika kedua dua mangsa tidak berani membuat aduan polis dan menjadi viral?

“Diharap ada pihak yang prihatin mengambil kedua mangsa tersebut bekerja di syarikat mereka sempena Ramadan ini.

“Semoga keberanian mereka mempertahankan agama dibalas dengan rezeki yang murah dan iman yang bertambah, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu.

Semalam, majikan yang merupakan suspek utama kes berkenaan memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini. 

Dia menyatakan permohonan maaf kepada pihak media ketika dia dibawa oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi. 

Sementara itu, menerusi laporan polis dibuat mangsa, polis menahan lima suspek dan merampas 100 kilogram emas serta mata wang Dollar Amerika keseluruhannya dianggar bernilai RM28.45 juta. 

Rampasan itu turut membongkar kegiatan sindiket Along dan judi haram dijalankan syarikat milik majikan terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button