Berita UtamaDunia

Krisis di Lubnan makin teruk, rakyat tak mampu beli juadah berbuka puasa

'Gaji tidak berubah tetapi harga makanan melambung tinggi'

BEIRUT, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Banyak keluarga Muslim di Lubnan ketika ini tidak mampu menyediakan juadah berbuka puasa, ekoran harga makanan melambung tinggi di tengah-tengah krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.

“Harga tidak masuk akal, meningkat lebih tinggi pada bulan Ramadan…sepinggan salad berharga enam kali ganda lebih banyak tahun ini. 

“Apa yang perlu kita lakukan? Perlukah kita mengemis? Kita tidak biasa mengemis,” luah seorang penduduk Beirut, Um Ahmed kepada Al Jazeera.

Pound Lubnan jatuh ke paras 10,000 berbanding dolar AS pada awal Mac, dan pada akhir bulan ini, jatuh ke paras 15,000 yang belum pernah berlaku sebelum ini.  

Mata wang Lubnan telah kehilangan sekitar 90 peratus dari nilainya sejak akhir 2019.

“Mereka yang dulu membeli sekilo sayur sekarang membeli separuh, sementara yang lain membeli sekeping… ada yang berlalu pergi setelah mengetahui harganya,” kata Ahmed, penjual sayur.

Sebulan makanan berbuka puasa untuk keluarga dengan lima orang ahli kini dianggarkan berharga dua setengah kali ganda daripada gaji minimum yang bernilai $60 pada kadar pasaran gelap.

Lubnan mengimport sebahagian besar makanannya dan masih kurang kerana kerajaan kehabisan dolar.

“Gaji kami tidak berubah tetapi harga makanan melambung tinggi,” kata penduduk, Hana Sader.

Walaupun gandum disubsidi oleh pemerintah, harga roti juga meningkat.

Membeli sebungkus roti sehari selama sebulan, harganya lebih dari 10 peratus gaji minimum. 

Pandemik coronavirus telah memburukkan lagi ketidaksamaan sosioekonomi, dengan lebih daripada separuh keluarga Lubnan hidup dalam kemiskinan.

Bulan lalu, tunjuk perasaan melanda bandar dan bandar raya Lubnan, dengan para penunjuk perasaan melaksanakan sekatan di lebuh raya utama.

Krisis bertambah buruk apabila politik tidak stabil, ketika mana calon Perdana Menteri, Saad Hariri dan Presiden, Michel Aoun terus bertentangan dalam pembentukan kerajaan baharu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button