Berita Utama

Lelaki langgar polis direman 7 hari

Kes disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh

GEORGE TOWN, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Lelaki yang melanggar Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan sehingga menyebabkan kematian anggota polis itu dalam kejadian awal pagi semalam, direman selama tujuh hari hingga 24 April ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret George Town hari ini.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Soffian, penganggur berusia 35 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam kejadian itu, Muhammad Iqbal, 22, serta dua rakan setugasnya sedang menjalankan rondaan di Jalan Scotland pada 1 pagi sebelum terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Pihak polis meminta lelaki itu berhenti namun dia terus memecut laju ke jalan utama, menyebabkan ketiga-tiga anggota terbabit mengejar suspek.

Suspek yang menunggang secara berbahaya bertindak melanggar motosikal dinaiki Muhammad Iqbal, menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada tebing jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Suspek yang dipercayai tokan dadah itu pula berjaya ditahan oleh dua lagi anggota di lokasi sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button