Berita Utama

Bekas pengarah syarikat sewa kapal ditahan kerana beri suapan

Lelaki berusia 64 tahun dituduh di mahkamah pagi esok: SPRM

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Seorang bekas pengarah syarikat yang membekalkan perkhidmatan penyewaan kapal ditahan hari ini kerana disyaki memberi rasuah sebanyak RM321,350.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu adalah sebagai imbuhan memberikan sub-kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Katanya, kejadian berlaku antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu, membabitkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Menurut suruhanjaya itu, lelaki berusia 64 tahun terbabit ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dan akan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok, mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan beri suapan untuk dapatkan kontrak penyewaan kapal.

“Sementara itu, seorang pengarah syarikat yang sama turut dipanggil untuk membantu siasatan dan akan dituduh bagi mewakili syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan kesalahan liabiliti korporat di mahkamah sama, pagi esok.

“Ini merupakan kes pertama bagi kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button