Berita Utama

KSM laksana kolaborasi dengan pihak luar, mantapkan pemerkasaan TVET

Pemantauan terhadap badan pentauliahan TVET dan skim perantisan serta mekanisme pembiayaan perlu diperkasa

PUTRAJAYA, 22 Syaaban 1443H, Jumaat – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan kolaborasi dengan pihak kawal selia Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di luar negara bagi memperkasakan TVET di bawah kementerian itu.

Menurut KSM, satu perbincangan dengan Pejabat Kelayakan dan Peraturan Peperiksaan (OFQUAL) dan UK Skills Partnership telah diadakan semasa lawatan kerja Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan ke London, United Kingdom (UK), Rabu lepas.

“Kolaborasi dengan pihak luar seperti UK adalah amat penting untuk membuat perbandingan amalan terbaik terutamanya dari aspek tadbir urus pengurusan dan pembelajaran TVET di negara tersebut dalam usaha memantapkan lagi pendidikan TVET di Malaysia,” menurut KSM dalam kenyataan, hari ini.

OFQUAL adalah satu badan kawal selia yang menilai kelayakan TVET di UK dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen negara tersebut manakala UK Skills Partnership adalah kumpulan penyedia latihan TVET di UK termasuk di luar negara.

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah dua jabatan di bawah KSM yang bertindak sebagai badan kawal selia dan penyedia latihan TVET.

Menurut KSM, aspek pemantauan terhadap badan pentauliahan TVET dan skim perantisan serta mekanisme pembiayaan perlu diperkasa untuk memartabatkan pendidikan TVET khususnya di bawah naungan kementerian itu.

“Aspek lain yang boleh diperkasa adalah pertandingan kemahiran dan kelayakan serta kemahiran tenaga pengajar TVET. Ini kerana TVET adalah platform utama dalam melahirkan pekerja tempatan berkemahiran,” menurut KSM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button