Berita Utama

Jangan panik bila dapat ugutan daripada ‘scammer’

Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan makin menjadi-jadi

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Masyarakat perlu lebih berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi sebahagian rangkaian penipuan jenayah kewangan dalam talian.

Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nur Syahidah Abdul Jalil berkata, mereka bukan sahaja perlu menghindar diri menjadi ahli kumpulan sindiket, malah tidak patut menjadi pekerja yang membuat panggilan penipuan dan pelindung kepada kegiatan penipuan.

Desakan hidup untuk mencari sumber pendapatan tidak boleh dijadikan alasan kerana terdapat pelbagai cara lain untuk mencari rezeki halal dan berkat, katanya

“Apatah lagi sebenarnya pelaku yang mendalangi jenayah kewangan dalam talian ini didasari dengan sifat tamak dan megah dengan kekayaan batil yang dimiliki,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Nur Syahidah berkata, pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku jenayah.

“Begitu juga terhadap mana-mana individu bersekongkol dalam melindungi pelaku jenayah ini, termasuk anggota penguat kuasa atau pihak menjual data peribadi.

“Hukuman dikenakan juga seharusnya lebih tegas dan mendatangkan gentar kepada orang lain untuk melakukan jenayah sama.

“Sesuai dengan perkembangan kegiatan jenayah kewangan semasa yang sentiasa berevolusi. Kita tidak mahu pendigitalan menjadikan kegiatan jenayah kewangan dalam talian semakin mudah,” katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, Nur Syahidah berkata, masyarakat juga perlu lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan jenayah kewangan ini.

Malah, disarankan untuk tidak mudah panik dengan ugutan, sentiasa mendapat nasihat pihak berwajib berhubung kait dengan transaksi kewangan besar sebelum melakukan tindakan serta saling ingat-mengingati antara satu sama lain.

“Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini.

“Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan yang ditanggung mangsa ada kalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button