Berita Utama

UMNO masih celaru

Cadangan supaya Najib kembali memimpin parti, bukti UMNO masih dengan budaya politik dikuasai elit

BANGI, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Saranan supaya Datuk Seri Najib Razak kembali memimpin UMNO seolah-olah menunjukkan parti itu masih belum mempunyai hala tuju dan celaru dengan realiti politik semasa.

Bahkan cadangan itu juga menampakkan UMNO masih kental dengan budaya politiknya yang dikuasai elit, serta memperlihatkan parti itu masih belum yakin dengan kepimpinan sedia ada.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kenyataan itu sememangnya tidak mengejutkan, namun dari sudut pandang yang lain, ia jelas mengukuhkan lagi beberapa perkara yang dikaitkan dengan kepimpinan parti itu selama ini.

Bagaimanapun beliau berpandangan, menarik Najib kembali ke dalam kepimpinan UMNO bukanlah perkara terbaik yang boleh dicadangkan UMNO ketika ini.

“Tidak dinafikan ketika ini Najib sangat popular. Beliau juga memiliki pengalaman dan banyak membuat jasa ketika menjadi Presiden UMNO serta Perdana Menteri.

“Namun, kewibawaan dan reputasi parti jauh lebih penting melebihi mana-mana individu. Kepimpinan sepatutnya bersama sepakat membina reputasi dan kewibawaan parti dengan membentuk hala tuju yang jelas.

“…bukannya mencadangkan seseorang yang telah diberi peluang mengemudi parti hanya semata-mata beliau masih popular dan jasanya yang lampau,” katanya menulis di Sinar Harian.

Sehingga ke saat ini, beliau berkata, UMNO masih segan untuk mengangkat isu seperti keadilan, kesaksamaan, budaya integriti dan reformasi institusi sebagai agenda parti.

Barangkali perkara itu masih terlalu asing buat pemimpin UMNO disebabkan mereka sudah biasa dengan kerangka dan budaya politik lama, katanya.

Oleh itu katanya, cabaran terbesar buat sesiapa pun yang mengemudi UMNO adalah mengikis persepsi umum yang negatif terhadap kepimpinan UMNO.

“Sama ada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau ketika zaman Najib sendiri, inilah bebanan berterusan membelenggu kepimpinan UMNO.

“Maka, siapa pun yang menjadi presiden, selagi hal itu tidak ditangani, maka selagi itulah kepimpinan UMNO akan terus bermasalah.

“Cakaplah yang UMNO dahulu kalah sebab fitnah dan permainan persepsi. Namun, fakta bahawa masalah itu timbul daripada sikap dan budaya kepimpinan UMNO sendiri adalah kebenaran tidak tertepis lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button