Berita UtamaDunia

11 maut, 98 cedera nahas kereta api di Kaherah

Kemalangan kerap berlaku kerana infrastruktur, penyelenggaraan yang buruk

KAHERAH, 7 Ramadan 1442H, Isnin – Sekurang-kurangnya 11 maut manakala 98 lagi cedera dalam kemalangan kereta api di wilayah Qalioubia di utara Kaherah, semalam.

Lebih daripada 50 ambulans bergegas ke lokasi di kota Toukh dan memindahkan mangsa cedera ke tiga hospital di wilayah itu, lapor Kementerian Kesihatan Mesir. 

Satu sumber keselamatan memberitahu AFP, lapan gerabak kereta api keluar dari landasan ketika menuju ke arah utara, iaitu ke bandar Mansoura.

Setakat ini, pemandu dan pegawai kereta api lain telah ditahan untuk disoal siasat.

Kemalangan kereta api Mesir umumnya berlaku disebabkan oleh infrastruktur dan penyelenggaraan yang buruk.

 

Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 199 cedera bulan lalu dalam nahas kereta api di selatan negara itu, menurut jumlah rasmi terbaru, yang telah disemak beberapa kali oleh pihak berkuasa.

Pihak pendakwaan minggu lalu mendakwa, pemandu satu kereta api dan pembantunya telah meninggalkan kabin ketika merempuh kereta api yang lain.

Presiden Abdel Fattah el-Sisi telah berjanji untuk mengambil tindakan kepada mereka yang bertanggungjawab atas beberapa kemalangan kereta api maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Bank Pembangunan Afrika awal bulan ini mengumumkan akan memberi pinjaman sebanyak AS$170 juta untuk meningkatkan keselamatan di rangkaian kereta api Mesir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button