Berita Utama

MB Kedah akan dikompaun langgar SOP

Kunjung pusat jualan kereta ketika sekatan pergerakan penuh

GEORGETOWN, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Notis kompaun akan dikeluarkan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi pusat jualan dan pameran kenderaan di Juru pada bulan Jun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, arahan itu dikeluarkan oleh pejabat pendakwa raya negeri.

“Arahan itu akan disampaikan ke pejabat Menteri Besar tidak lama lagi dan keterangan lebih lanjut akan diberikan kemudian.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh ibu pejabat polis negeri setelah beliau menerima notis kompaun,” katanya, hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Berjangkit Tempatan) 2021.

Di bawah Seksyen 269, kesalahan itu boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar dan video yang menunjukkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu kereta pada 5 Jun, ketika negara berada dalam perintah sekatan pergerakan penuh atau untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button