Berita UtamaPendapat

Malaysia perlu teruskan vaksinasi COVID-19

COVID-19 bukan hanya pandemik, perlu melihat trend semasa

PENINGKATAN kes harian COVID-19 di Malaysia dalam seminggu lepas telah menimbulkan polemik baru dalam pengurusan pandemik penyakit ini di Malaysia. Jika sebelum ini trend kes harian sedang menurun namun ia kembali menaik bermula 8 April dengan 1854 kes sehingga mencecah 2148 kes pada 15 April dalam hanya tempoh seminggu.

Pelbagai tanggapan telah ditimbulkan dari pihak rakyat mahupun kerajaan akan punca utama kepada peningkatan kes ini. Adakah ia disebabkan oleh pelonggaran SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau sikap leka rakyat yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan? Persoalan juga timbul adakah program vaksinasi COVID-19 yang sedang berjalan tidak memberi kesan yang diharapkan dan sepatutnya dihentikan?

Semua pihak diseru supaya bertenang dan kembali melihat kepada fakta dan data-data yang telah ada untuk menilai situasi terkini sebelum membuat pelbagai reaksi dan spekulasi. Pandemik COVID-19 yang telah lebih setahun berlaku sepatutnya membolehkan kita memahami ciri-cirinya dan respon yang terbaik untuk menanganinya di peringkat komuniti, negara dan dunia umumnya.

Data-data dari pengurusan harian COVID-19 sepatutnya mampu dianalisa sehingga boleh membantu kita membuat keputusan yang lebih baik. Malah pelbagai fakta-fakta yang telah dikeluarkan oleh para pengkaji sepatutnya diteliti dan diambilkira dalam membuat penilaian dan keputusan semasa.

Kita juga tidak seharusnya melihat COVID-19 hanya pada penyakit dan pandemik dalam negara semata, namun perlu juga melihat kepada trend semasa di kebanyakan negara-negara dunia. Umum memahami program vaksinasi COVID-19 telah berjalan sejak awal tahun ini khususnya di negara-negara pembekal vaksin seperti Amerika, United Kingdom, China dan negara-negara kecil seperti Singapura dan Israel.

Meskipun program vaksinasi ini agak sedikit lewat di negara-negara pendapatan menengah dan rendah, namun kesan program vaksinasi perlu dilihat secara objektif. Ini bermakna kita bukan sekadar melihat kepada kesan sampingan yang dialami oleh penerima vaksin tetapi kesan kepada kadar jangkitan baru di dalam komuniti.

Data-data terkini di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terkini menunjukkan peningkatan kes harian telah berlaku serentak di seluruh dunia dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Namun begitu, kadar peningkatan kes baru di negara-negara maju adalah jauh lebih rendah atau stabil berbanding negara-negara pendapatan menengah dan rendah. Khususnya di Asia Tenggara, kes harian meningkat sehingga 3 kali ganda daripada kes bulan Mac yang lalu. Mengapakah ia terjadi sedemikian? Adakah penduduk di negara maju lebih berilmu dan bertamadun berbanding negara-negara lain atau ada faktor lain yang membantu.

Jika kita melihat kadar vaksinasi di negara-negara maju dan pengeluar vaksin, liputan vaksinnya adalah sangat tinggi. Jumlah vaksinasi dunia hari ini adalah sebanyak 751 juta orang manakala kadar liputan vaksin tertinggi adalah di negara Israel 61 peratus, United Kingdom 48 peratus dan Amerika 38 peratus pada 17 April yang lalu.

Pada masa sama, kadar jangkitan di dalam komuniti adalah menurun di United Kingdom dan Israel (20 kes bagi 1 juta rakyat) berbanding negara-negara di Asia Tenggara. Kadar kebolehjangkitan Ro juga rendah di bawah 1 bagi kedua-dua negara ini. Ia telah secara tidak langsung menunjukkan bagaimana kadar vaksinasi memberi kesan kepada pengurangan jangkitan di dalam komuniti.

Kita telah memulakan program vaksinasi COVID-19 pada hujung bulan Februari yang lalu dan telah pun menamatkan fasa pertama vaksinasi untuk pekerja-pekerja barisan hadapan.

Sehingga 16 April, seramai sejuta rakyat telah divaksin dan sembilan juta pula sudah mendaftar untuk vaksinasi. Kini kita akan memasuki fasa kedua program vaksinasi bermula 19 April khusus untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang berpenyakit kronik. Kerjasama rakyat adalah sangat penting pada waktu ini untuk kita mendapatkan kadar vaksinasi dan liputan yang tinggi bagi mencapai imuniti kelompok.

Apa-apa pun usaha yang dilakukan untuk menguruskan pandemik ini hendaklah berdasarkan data-data dan fakta-fakta kajian terkini. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan perisian-perisian terkini sepatutnya membantu pihak berkuasa kerajaan di peringkat MKN, KKM dan pihak berkuasa tempatan untuk membuat keputusan terbaik dalam pengurusan pandemik sebesar ini.

Konsistensi dalam membuat keputusan dan ketegasan serta iltizam dalam melaksanakannya adalah aspek terpenting semasa bencana seperti ini. Dengan cara ini kerajaan akan lebih mudah mendapat kepercayaan rakyat dan seterusnya bersama-sama menghadapi bencana pandemik COVID-19 sehingga berjaya.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Pensyarah Perubatan UniSZA
Ketua Unit Kesihatan Awam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button