Berita Utama

Vaksin: Pasangan suami isteri boleh dapatkan slot temu janji sama

Juga terpakai buat individu, tanggungan yang layak terima vaksin fasa kedua

KUALA LUMPUR, 7 Ramadan 1442H, Isnin – Pasangan suami isteri boleh menghubungi talian ‘hotline’ pendaftaran vaksin untuk mendapatkan slot temu janji sama jika mereka mendaftar secara berasingan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, mereka boleh mengatur slot temu janji yang sama jika mereka berdua layak mendapat vaksin pada fasa kedua.

“Terdapat permintaan untuk slot temu janji yang sama untuk suami dan isteri. Sekiranya pasangan mereka disenaraikan sebagai tanggungan pada aplikasi MySejahtera, mereka akan diberi tarikh temu janji yang sama.

“Tetapi bagi mereka yang mendaftar secara berasingan, misalnya, melalui aplikasi MySejahtera masing-masing, ada kemungkinan mereka akan mempunyai slot temu janji yang berbeza.

“Sekiranya demikian, mereka boleh menghubungi talian ‘hotline’ kami untuk meminta tarikh temu janji vaksin pada hari dan waktu yang sama,” katanya pada sidang media bersama COVID-19 Immunisation Task Force, hari ini.

Beliau berkata, ia adalah untuk pasangan, atau untuk individu dan tanggungan mereka, yang layak menerima vaksin pada program vaksinasi fasa kedua.

Nombor hotline pendaftaran vaksin adalah 1800-888-828.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button