Berita Utama

Vaksin usaha putuskan rangkaian jangkitan COVID-19

‘Kita tiada masa terus tunggu vaksin sempurna dari segala aspek’

BANGI, 7 Ramadan 1442H, Isnin – Insiden jangkitan COVID-19 selepas vaksinasi atau kesan sampingan penerimaan vaksin tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pakar Virologi, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, meskipun penggunaan vaksin tidak memberi jaminan daripada dijangkiti COVID-19, ia berkeupayaan menyumbang kepada usaha memutuskan rangkaian jangkitan.

“Ditambah lagi pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard), usaha memutuskan rangkaian jangkitan akan berlipat ganda.

“Insya-Allah, akhirnya rangkaian jangkitan ini akan terputus sepenuhnya apabila imuniti kelompok dicapai dalam masyarakat,” katanya menulis di Beriita Harian hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menyasarkan 80 peratus penduduk divaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok.

Dr Yahya berkata, imuniti kelompok adalah penting bagi memutuskan rangkaian jangkitan dalam usaha menghapuskan wabak COVID-19.

“Kita tiada masa untuk terus menunggu kepada satu vaksin sempurna dari segala aspek dalam menghadapi situasi COVID-19.

“Pengalaman lepas menghadapi wabak jangkitan virus dan pembangunan serta penggunaan vaksin banyak membantu.

“Kita perlu kepada vaksin yang secara amnya, kebaikannya melebihi risiko penggunaan,” katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa wujudnya kesan sampingan kepada penerima vaksin, malah terkini, penerima vaksin turut dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, jumlah peratusan adalah kecil daripada lebih sejuta orang menerima vaksin di negara ini.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menjelaskan penerima vaksin masih boleh dijangkiti COVID-19, namun pada kadar yang jauh lebih rendah dan tanpa gejala serius.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, pemberian vaksin penting bagi mengurangkan kadar kematian akibat pandemik berkenaan, di samping memastikan kapasiti sistem kesihatan awam tidak terbeban.

“Tujuan utama vaksin COVID-19 adalah untuk kurangkan gejala teruk COVID-19, melindungi kita daripada kematian, ICU (unit rawatan rapi), ventilator dan lain-lain. Ia sekali gus mengurangkan beban kepada sistem kesihatan.

“Jangkitan boleh berlaku tapi kadar yang jauh lebih rendah. Namun gejala tidak serius. Take the vaccine (ambillah vaksin),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button