Ekonomi terus meleset jika hutang negara bertambah
Bahaya kadar hutang meningkat lebih cepat daripada pertumbuhan KDNK

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 8 Ramadan 1442H, Selasa – Sekiranya kadar hutang negara terus meningkat dengan lebih cepat daripada pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia bakal mencetuskan kebimbangan.
Meskipun ketika ini hutang negara masih rendah sekitar had 60 peratus yang diluluskan Parlimen, namun Malaysia tidak boleh berterusan mengambil hutang dengan kadar peningkatan lebih 10 peratus setiap tahun.
Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, buat masa sekarang, walaupun defisit fiskal semakin meningkat, ianya dijangka masih lagi berlegar di sekitar paras 6 peratus daripada KDNK pada tahun ini.
“Pada tahun 1990, kita pernah mengalami peratusan hutang yang lebih tinggi berbanding KDNK iaitu melebihi 70 peratus dan selepas itu kita berjaya mengurangkannya di bawah 40 peratus selepas beberapa tahun.
“Justeru, untuk menangani isu semasa masih ada ruang, namun kerajaan perlu mula memikirkan penyelesaian untuk jangka masa panjang.
“Untuk jangka masa pendek, masih terdapat ruang untuk kerajaan berbelanja serta menambah hutang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dr Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu mula menjana hasil pendapatan yang lebih tinggi dan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan.
Kerajaan juga perlu mencari mekanisme supaya negara tidak menambah hutang lagi, katanya.
“Fokus kepada yang perlu sahaja, cari mekanisme untuk tidak tambah hutang dengan melihat penyelesaian di luar kotak.
“Sebagai contoh konsep ‘muqassah’. Awal tahun kerajaan perlu cari duit untuk bayar gaji kakitangan kerajaan dan mungkin terpaksa ambil hutang baru.
“Tetapi disyorkan supaya apabila kakitangan kerajaan gaji dia RM5,000 tetapi dia dapat RM3,000. Selebihnya dia dapat kredit yang boleh digunakan untuk bayar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tertentu.
“Apabila syarikat perniagaan menerima kredit tersebut, syarikat akan mengumpul semua kredit itu untuk ditebus apabila membayar cukai perniagaan. Oleh itu kerajaan tidak perlu menambah hutang setiap tahun,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan kerajaan mempertimbang pelaksanaan Mata Wang Daulat Digital atau Sovereign Digital Money seperti yang akan dilaksanakan oleh China, Jepun dan Australia.
“Daripada mencetak wang, syiling, kita cipta wang itu secara elektronik. Kaedah ini memudahkan pemantauan, dan juga mudah mengesan sebarang ‘money laundering’ (pengubahan wang haram), sekaligus mengelakkan ketirisan dan keborosan perbelanjaan,” katanya.
Katanya, konsep seperti ini yang perlu difikirkan oleh kerajaan untuk jangka masa sederhana dan panjang supaya dapat memberikan kesejahteraan ekonomi.
“Jika sentiasa meminjam, ekonomi menjadi tidak mampan, dan kerajaan akan hadapi impak negatif di masa akan datang.
“Komitmen hutang tahunan kerajaan ketika ini adalah 14 peratus daripada pendapatan. Jika meningkat lagi, negara akan alami kemelesetan ekonomi.
“Sukar untuk pulih. Jika sebelum ini ada ruang lagi untuk meminjam, tetapi kalau terbeban dengan hutang makin tinggi, lagi susah untuk meminjam. Kerana tiada keyakinan untuk kita membayar balik. Implikasi krisis keyakinan. Itu impak pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dasar baharu pelaburan negara yang bakal dibentangkan esok, beliau menegaskan bahawa bukan sebarang pelaburan yang negara mahukan.
Terutama sekali selepas melihat trend pelaburan asing, beliau berkata, amat merugikan apabila pelabur mendapat keuntungan daripada pelaburan mereka di Malaysia, lalu mereka membawa keluar keuntungan dividen itu.
“Walhal, kita harap mereka guna keuntungan tersebut untuk menambah pelaburan di Malaysia, berkembang di Malaysia dan memberi lebih banyak pekerjaan. Tetapi melihat kepada trend dua tiga tahun ini, dia tarik keluar dividen bawa ke negara asal mereka.
“Sebagai contoh, pada tahun 2019, sebanyak RM55.58 billion dividen diisytiharkan di bawah pelaburan asing ini tetapi hanya RM1.76 billion sahaja yang dilabur kembali di Malaysia, selebihnya dibawa keluar.
“Datang sini melabur tetapi tak ada kepentingan untuk bertapak lebih lama di Malaysia.
“Jadi kita harap pelaburan baru membolehkan banyak lagi peluang pekerjaan, yang ada komitmen untuk pelaburan jangka masa panjang. Bukan semata semata-mata nak mendapatkan pengecualian cukai untuk 5 tahun,” katanya.