Berita UtamaDunia

Fatah didakwa paksa tahanan Palestin minta tangguh pilihan raya

Laman web berita Israel lapor AS bimbang Hamas menang pilihan raya

BAITULMAQDIS, 8 Ramadan 1442H, Selasa – Seorang anggota Jawatankuasa Pusat Fatah dilaporkan mendesak tahanan Palestin di penjara Israel untuk meminta pilihan raya akan datang ditangguhkan. 

Sumber yang dekat dengan pemimpin Fatah yang dipenjara, Marwan Barghouti mendedahkan, tekanan diberikan kepada tahanan sehingga pilihan raya ditangguhkan, lapor Akhbar Lubnan Al-Akhbar. 

Sumber memberitahu, sebilangan tahanan Fatah enggan menyokong perkara itu dan diugut, terutama setelah beberapa tinjauan membuat ramalan bahawa Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan memperoleh majoriti di Parlimen sekali lagi.

Akhbar itu juga mengatakan bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah telah berusaha untuk meyakinkan negara-negara Arab, Kesatuan Eropah, dan Amerika Syarikat (AS) untuk menerima usahanya menangguhkan pilihan raya. 

Atas alasan, mereka tidak dapat meneruskannya jika negara Israel tidak mengizinkan warga Palestin di Baitulmaqdis Palestin untuk mengambil bahagian.

Menurut sumber sama, Washington belum membuat keputusan mengenai perkara itu, tetapi Setiausaha Negara, AS Antony Blinken sebelumnya telah memaklumkan kepada Menteri Luar Negeri Israel, Gabi Ashkenazi bahawa Amerika tidak akan mengambil keputusan yang membahayakan Tel Aviv.

Laman web berita Israel Walla telah melaporkan bahawa pentadbiran AS bimbang Hamas memenangi pilihan raya.

Akhbar itu menambah bahawa Presiden PA, Mahmoud Abbas telah menghantar Menteri Luarnya Riyadh Al Maliki ke Eropah untuk menekankan bahawa Baitulmaqdis ‘adalah garis merah’ dan tidak ada pilihan raya yang akan diadakan tanpanya.  

Keadaan itu akan memungkinkan pilihan raya ditunda tanpa PA disalahkan atas keputusan tersebut.

Palestin dijadualkan akan mengadakan Pilihan Raya Parlimen pada 22 Mei, pemilihan Presiden pada 31 Julai dan Majlis Nasional Palestin pada 31 Ogos depan.

Pilihan raya perundangan terakhir diadakan di wilayah Palestin pada 25 Januari 2006 untuk memilih Majlis Perundangan Palestin (PLC) kedua, badan perundangan Majlis Kebangsaan Palestin (PNA). Keputusannya adalah kemenangan bagi Hamas.

Abbas dan parti Fatahnya menolak untuk menyerahkan kekuasaan kepada gerakan itu.

Beliau tetap memegang jawatan presiden sejak itu dan tidak ada pilihan raya yang diadakan.  

Parti Fatah menguasai Tebing Barat yang diduduki, sementara Hamas memerintah Semenanjung Gaza yang dikepung dengan usaha yang dilakukan untuk menyatukan puak-puak Palestin untuk membantu memperbaiki kehidupan rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button