Berita Utama

Mahu bolot kekayaan punca parti Melayu sukar kongsi kuasa?

Era monopoli kuasa politik sudah lama berlalu, kini Malaysia di fasa peralihan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rejab 1442H, Rabu – Jalan kepada penyatuan parti-parti Melayu dan Islam di negara ini secara kukuh masih ‘berkabus’, selagi agenda parti lebih diagungkan berbanding kebangkitan ummah.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, antara yang menjadi batu penghalang besar kepada penyatuan ini adalah kerana sikap parti Melayu yang masih hendak berebut antara satu sama lain.

“Ini satu kenyataan yang diakui semua pihak. Masing-masing rasa diri kuat dan boleh memerintah sendiri sebab itu parti-parti Melayu sukar untuk bekerja sesama sendiri.

“Mereka nak bolot kekayaan untuk geng-geng dalam satu parti sahaja. Kalau berkongsi mereka rasa tak puas sebab dapat sedikit. Tidak seperti dahulu semasa memerintah sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pun begitu, kata Ustaz Abdullah, zaman monopoli kuasa seperti itu sudah pun berlalu.

Jelasnya, jika pemimpin parti Melayu yakin corak pemerintahan lama akan kembali, maka pada hakikatnya mereka berada di dalam ilusi.

“Tetapi mereka tak sedar lagi. Mereka hanya pilih jalan yang akan bawa kebinasaan kepada semua,” katanya.

Mengulas sama ada arah permainan politik Melayu ini akan terus terumbang-ambing, beliau berkata, ia tidak selamanya akan begitu selagi mana orang Melayu ada kejituan yang tinggi untuk kembali kepada ajaran Islam.

“Sekarang kita berada di fasa peralihan, mungkin panjang sikit, tetapi akan bermula era baharu (pemain politik baharu).

“Sinar tetap ada jika orang Melayu balik kepada Islam,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button