Berita Utama

Bakar al-Quran: Kerajaan digesa panggil Duta Sweden beri penjelasan

Umat Islam seluruh dunia perlu kecam tindakan Islamofobik Rasmus Paludan

BANGI, 1 Rejab 1444H, Isnin – Kerajaan digesa memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia bagi memberi penjelasan berhubung tindakan ahli politik negara itu, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran dalam protesnya terhadap Turkiye.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya turut menggesa umat dan gerakan Islam di seluruh dunia, serta pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan mempertahankan maruah umat Islam.

Pada masa sama, katanya, umat Islam perlu mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem itu.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun dan ekstrem oleh Rasmus Paludan, ahli politik di Sweden yang telah bertindak membakar naskhah al-Quran dalam protesnya terhadap Turkiye.

“Tindakan sebegini adalah politik lapuk yang menzahirkan kemunafikan politik yang diamalkan oleh Barat yang selama ini kononnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam berpolitik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada perkembangan sama, Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS menggesa supaya kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap Paludan sesuai dengan kesalahan jahat yang dilakukan.

“Pemuda PAS mempersoalkan tindakan tidak bertamadun Rasmus Paludan, apakah dengan berbuat sedemikian, ketidakpuasan hati beliau dan pengikutnya akan dapat diselesaikan? Sudah tentu tidak,” katanya.

Terdahulu, Paludan mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam apabila bertindak membakar senaskhah al-Quran sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line itu bersama-sama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button