Berita Utama

25 individu babit iklan judi hari raya ditahan

Pelakon video iklan hanya dibayar RM180 hingga RM200

KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Seramai 25 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung empat video iklan yang mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan tema hari raya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, seramai 13 individu telah ditahan selepas dipercayai terbabit bagi video pertama manakala untuk video kedua, enam individu telah ditahan.

“Sementara video ketiga dan keempat pula, masing-masing membabitkan empat serta dua individu,” katanya.

Beliau seperti dilapor Kosmo! berkata, seramai 12 individu masih berada dalam tahanan reman bagi membantu siasatan.

Terdahulu, iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Malah, iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Polis sebelum ini mendedahkan beberapa pelakon di dalam video iklan terbabit dibayar dengan harga RM180 hingga RM200 oleh syarikat produksi tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, isi kandungan iklan tersebut jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Justeru, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button