Berita UtamaDunia

COVID-19: India rekod jumlah kematian terburuk setiap hari

Jangkitan baharu semakin hampir cecah 300,000 kes

NEW DELHI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – India melaporkan jumlah kematian terburuk setiap hari, dengan sebahagian besar negara itu di bawah perintah berkurung susulan gelombang jangkitan kedua COVID-19.

Kementerian Kesihatan berkata, seramai 1,761 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah kematian kepada 180,530 – walaupun pakar percaya kematian sebenar di India jauh lebih banyak daripada jumlah rasmi.

Negara kedua terpadat di dunia itu sedang bergelut dengan keadaan darurat kesihatan selepas melonggarkan sekatannya apabila jangkitan coronavirus jatuh ke paras terendah dalam beberapa bulan pada Februari, kata pakar kesihatan dan pegawai kerajaan.

Krisis di hospital menyebabkan pesakit berebut katil, bekalan oksigen serta ubat-ubatan, dan para doktor mengatakan bahawa kekurangan itu akan menyebabkan lebih banyak kematian.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 259,170 jangkitan baharu, hari keenam yang melebihi 200,000 kes dan semakin hampir ke 300,000 yang dilihat di Amerika Syarikat (AS) pada bulan Januari.

Jumlah kes coronavirus di India kini sebanyak 15.32 juta, berada di kedudukan kedua selepas AS.

Ahli epidemiologi berkata, varian baru yang lebih menular adalah salah satu faktor utama di sebalik lonjakan kes. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button