Berita UtamaIstimewa

Isu SJKC: Mana Menteri Pendidikan? Apakah PN juga sokong vernakular

Apakah MCA terlalu berkuasa sehingga mampu berbuat apa sahaja?

BANGI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Tatkala Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon tegas mempertahankan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing dalam kawasan majoriti Melayu, Menteri Pendidikan pula dilihat seolah-olah membisu berhubung isu berkenaan.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada rakyat lebih-lebih lagi selepas melihat Hang Soon – yang juga dari parti berasaskan perkauman MCA – paling awal memberi respon mengenai pembinaan sekolah itu selepas menerima bantahan daripada penduduk Bandar Kinrara.

Hang Soon mendakwa, SJKC Too Joon Hing adalah antara 10 SJKC yang diluluskan oleh kerajaan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2017 atas permohonan MCA.

Dakwanya, lokasi asal pembinaannya ketika diluluskan ialah Taman Putra Prima Puchong, tetapi telah ditukar ke Bandar Kinrara Seksyen 5 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak mengejutkan, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, memang sejak zaman BN dan PH lagi Timbalan Menteri Pendidikan seolah-olah memegang tugas ‘Menteri Sekolah Vernakular’, menjangkaui Menteri Pendidikan.

“Mah Hang Soon berkata dengan bangganya bahawa sekolah Cina tersebut adalah antara 10 SJKC yang diluluskan oleh kerajaan ketika pemerintahan BN 2017 atas permohonan MCA.

“Beliau juga dengan bangganya mempertahankannya lagi dengan hujah pelajar bukan Cina di SJKC meningkat, seperti saya jangka dan itulah yang diratib-ratib golongan pro-vernakular ini.

“Memanglah peratusan meningkat, kerajaan juga yang bina di situ iaitu di kawasan majoriti Melayu. Apakah beliau nak kata kalau bina sekolah kebangsaan, orang Melayu tak mahu pergi?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua respon sebegini jelas dan konsisten dengan mana-mana ‘Menteri Sekolah Vernakular’ sejak zaman BN dan PH, iaitu tanpa segan silu serta tanpa apologetik – walaupun lantikannya itu adalah ihsan tradisi amalan jawatan berkenaan.

“Persoalannya, sudah beberapa hari isu ini berlalu. Di manakah Menteri Pendidikan dalam isu ini? Apakah kita hanya mengulangi adegan drama timbalan menteri lebih berkuasa dari menteri?

“Kebisuan ini sekali gus menimbulkan tanda tanya yang besar; iaitu dasar pendidikan BN dan PH memang sudah terbukti menyokong sistem vernakular, maka apakah dasar pendidikan PN juga menyokong sistem vernakular?

“Atau apakah MCA terlalu berkuasa dalam kerajaan sehingga mampu berbuat apa sahaja?,” soalnya.

Terdahulu, Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha yang mewakili penduduk Bandar Kinrara berkata, pihaknya amat tidak berpuas hati dengan pembinaan SJKC Too Joon Hing kerana tidak seimbang dengan populasi penduduk di situ.

Beliau menjelaskan, sekolah kebangsaan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan hanya tiga sahaja jumlahnya, sedangkan SJKC ditambah kepada lima.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button