Berita Utama

KKM siasat isu kematian kakitangan dikait vaksin COVID-19

Tiada laporan kematian babitkan pemberian vaksin fasa kedua

BANGI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat isu tular berhubung kematian kakitangannya yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 di media sosial.

Bahagian Regulatori Farmasi dalam satu kenyataan berkata, makluman akan diberikan kepada umum selepas siasatan itu selesai.

Pada masa sama, KKM turut memaklumkan tiada laporan kematian disebabkan vaksin COVID-19 setakat ini, membabitkan pemberian fasa kedua yang bermula pada 19 April lalu.

Katanya, fasa dua pemberian vaksin membabitkan baki kumpulan fasa pertama dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik serta orang kelainan upaya (OKU).

“Sehubungan itu, pihak KKM meminta agar orang ramai tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenal pasti sumber dan kebenarannya.

“Sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk merujuk kepada maklumat sah yang boleh didapati di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Crisis & Preparedness Response Center (CPRC) di setiap negeri atau layari laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau di talian 03-88810200/03-88810600/03-88810700 bagi mendapatkan info sahih vaksin COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button