Berita UtamaDunia

Negara bergolak Yaman mulakan kempen vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan terima suntikan yakinkan rakyat terhadap vaksin

ADEN, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Yaman melancarkan kempen vaksin di kawasan yang dikuasai kerajaan, tiga minggu selepas penghantaran pertama dari kemudahan perkongsian vaksin global COVAX tiba di negara yang dilanda perang itu.

Pada 31 Mac lalu, negara itu menerima 360,000 dos vaksin AstraZeneca, sebahagian daripada konsainan dari COVAX yang dijangkakan berjumlah 1.9 juta dos tahun ini.

Kempen vaksin dijalankan di bandar pelabuhan selatan Aden, ibu kota sementara kerajaan dalam perang enam tahun.

Menteri Kesihatan dan wakil Yaman untuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Philippe Duamelle menerima suntikan vaksin bagi menunjukkan keyakinan terhadapnya.

Duamelle berkata, pekerja barisan hadapan, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu akan diutamakan.

Dilaporkan berlakunya lonjakan dramatik jangkitan coronavirus baharu yang disahkan dan disyaki di Yaman sejak pertengahan Februari sekali gus melemahkan sistem kesihatan yang dilanda perang, keruntuhan ekonomi dan baru-baru ini, kekurangan dana bantuan kemanusiaan.

Gerakan Houthi yang berpihak kepada Iran menguasai sebahagian besar utara Yaman selepas menggulingkan kerajan yang disokong Arab Saudi dari ibu kota Sanaa.

Kementerian Kesihatan sebelumnya mengatakan vaksin COVAX adalah percuma dan diedarkan ke seluruh negara, di mana Houthi mengendalikan kebanyakan pusat bandar besar.

COVAX dipimpin bersama Gavi Vaccine Alliance dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyediakan vaksin COVID-19 ke negara berpendapatan rendah.

Menurut Ishraq al-Seba’ei yang bersama jawatankuasa coronavirus darurat kerajaan, pelancaran semalam hanya meliputi bahagian yang dikuasai kerajaan di negara itu.

Bagaimanapun katanya, 10,000 dos dihantar ke Sanaa melalui WHO.

Sementara itu, seorang pegawai UNICEF berkata, belum ada vaksinasi di kawasan Houthi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button