Berita Utama

Polis serbu kondo pusat panggilan judi dalam talian

11 individu termasuk seorang wanita warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Taktik satu sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan kondominium mewah di Jalan Tun Razak di sini sebagai pusat operasi panggilan aktiviti itu terbongkar apabila diserbu tengah malam tadi.

Dalam serbuan oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, seramai 11 individu berumur lingkungan 19 hingga 38 tahun termasuk seorang wanita warga China yang dipercayai penjaga premis berkenaan ditahan dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusoff berkata, pusat berkenaan didapati telah beroperasi kira-kira dua bulan lepas dan mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sehari.

“Sindiket ini dipercayai mempromosi judi dalam talian kepada warganegara China di premis yang disewa pada harga RM10,000 sebulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam serbuan diketuai Timbalan Ketua JSJ (Risikan dan Operasi) Kuala Lumpur, ACP Nasri Mansor itu, polis turut merampas 17 komputer riba, 100 telefon bimbit dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut.

Saiful Annuar berkata, setiap pekerja menerima upah sebanyak RM3,000 sebulan selain komisen untuk mendapatkan pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button