SPRM nafi keluar kenyataan tak benar, tohmahan kait SPA
Sinar Harian salah lapor kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya

BANGI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM mengeluarkan kenyataan tidak benar, mengelirukan dan berbentuk tohmahan seperti dinyatakan menerusi kenyataan media Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkaitan isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Majlis Pelancaran Rasuah Busters bersama Allianz Malaysia telah disalah lapor oleh Sinar Harian.
“Susulan itu Sinar Harian telah memperbetulkan kenyataan tersebut dan mengakui berlaku kekhilafan seperti dalam pautan https://www.sinarharian.com.my/article/134563/BERITA/Nasional/Penjelasan-mengenai-kenyataan-SPRM-menyentuh-tentang-SPA.
“Sehubungan itu, SPRM memohon agar mana-mana pihak tidak mempolemikkan perkara tersebut kerana kenyataan yang disiarkan tidak pernah dikeluarkan dan tiada kaitan dengan SPRM atau mana-mana pegawai suruhanjaya ini,” katanya.