Berita Utama

8 warga Filipina dipenjara guna kad pengenalan palsu, orang lain

Peroleh kad pengenalan palsu dari ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk Semenanjung

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1442H, Khamis – Lapan pengawal keselamatan warga Filipina dipenjarakan antara dua dan 18 bulan masing-masing oleh lima Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain dua hari lepas.

Mereka ialah Romi Jakira, Rijan Esnael, Razmie Alim, Sababon Insalon, Ambitun Absarun, Buyong Akalol, Askun Nahilun dan Asmarun Kilong yang masing-masing berumur 23 hingga 58 tahun.

Pertuduhan terhadap lapan lelaki itu dikemukakan di lima mahkamah berasingan iaitu di hadapan Majistret S. Mageswary, Tawfiq Affandi Chin, Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Arifin.

Ketika menjatuhkan hukuman, semua majistret turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 April lepas.

Bagi pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri, Rijan didakwa telah melakukan perbuatan itu di Stadium Merdeka, Jalan Stadium di sini pada 12.15 pagi, 21 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi tujuh lagi tertuduh, mereka didakwa telah menggunakan kad pengenalan palsu sementara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Stadium Negara di sini antara 1.20 pagi dan 5 petang, 21 April lepas mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu Mohd Zakuan Zakaria, Mohd Supian Abdullah dan Mohamad Riduawan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata, berdasarkan maklumat risikan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan jabatannya telah menjalankan Operasi Terancang Pemeriksaan Kad Pengenalan di Stadium Merdeka di sini pada Selasa lepas.

“Hasil pemeriksaan itu seramai lapan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pondok pengawal Stadium Merdeka telah ditahan dan mengaku mereka berasal dari Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button