Berita Utama

Aidilfitri: RM500 untuk penjawat awam, RM250 pesara

Pembayaran akan dibuat bersama gaji bulan Mei: Pejabat PM

BANGI, 10 Ramadan 1442H, Khamis – Kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Bantuan khas itu turut meliputi kakitangan Contract of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian dan lantikan di bawah MySTEP.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, bayaran bantuan khas turut diberikan kepada pesara kerajaan sebanyak RM250.

Katanya, pembayaran bantuan khas yang memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara itu akan dibuat bersama dengan gaji bulan hadapan iaitu pada 6 Mei 2021.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh penuh cabaran ini.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelum atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Kerajaan berharap pemberian bantuan khas itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara, selain menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, kata PMO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button