Berita Utama

Isu projek RM2 bilion bawah KASA, Tuan Ibrahim jawab tuduhan Rafizi

'Sila buat laporan ke SPRM jika ada bukti, bukan buat fitnah'

BANGI, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion ketika tempoh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS menegaskan tiada pihak yang berjumpa dan meminta kelulusan dengan projek bernilai tinggi itu.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai fitnah dan sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Dia kata ada pihak-pihak tertentu minta menteri KASA lulus RM2 bilion dalam tempoh kerajaan peralihan. Eh kamu ingat aku tak reti peraturan ke?

“Mana boleh lulus mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara, tak boleh.

“Saya nak tegaskan saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan,” katanya ketika ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Lipis, semalam.

Tuan Ibrahim menegaskan, Rafizi boleh terus melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti kukuh, dan bukan membuat fitnah khususnya pada musim pilihan raya.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Rafizi mendakwa, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang PRU15.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka berkata, beliau juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender di bawah KASA.

“Bukan macam masa zaman Pakatan Harapan (PH), bagi saya urusan jawatankuasa tender urus, saya tidak mahu terlibat.

“Ikut prosedur ikut peraturan siapa yang layak siapa yang dapat teruskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button