Berita Utama

Segerakan vaksin kepada guru

Tak perlu tutup semua sekolah kecuali yang ada kes COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1442H, Khamis – Kebimbangan banyak pihak terutama pakar kesihatan dan pendidikan tentang kemungkinan berlaku penularan kes COVID-19 di sekolah, apabila pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya benar-benar menjadi kenyataan.

Sebanyak 4,868 kes positif dengan 83 kluster COVID-19 melibatkan sektor pendidikan seluruh negara dari 1 Januari tahun ini hingga Selasa meresahkan masyarakat terutama ibu bapa sehingga ada mencadangkan agar semua sekolah ditutup dan kembali melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Situasi semasa ini meningkatkan kembali gesaan agar pemberian vaksin dalam kalangan guru dan pengurusan sekolah disegerakan bagi memastikan kelangsungan pendidikan pelajar.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah terbaik bagi membendung penularan COVID-19 dan sekali gus mengurangkan risiko di sekolah adalah dengan menyegerakan pemberian vaksin kepada guru-guru dan pengurusan sekolah.

“Mereka (guru dan pengurusan sekolah) perlu diberi keutamaan dan segera diberikan vaksin seperti mana petugas barisan hadapan. Peningkatan kluaster dalam kalangan warga sekolah tidak boleh diambil mudah dan perlu tindakan segera untuk membendung penularan ini bagi mengelakkan sesi pembelajaran di sekolah terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kementerian Pendidikan sedang berusaha memastikan 500,000 guru seluruh negara dapat menerima vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula 19 April lepas dan dijangka berakhir 5 April depan.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Khairy Jamaluddin menyatakan pemberian vaksin kepada golongan pendidik itu akan turut bergantung pada jumlah bekalan semasa vaksin di Malaysia.

Dr Zainal Ariffin menjelaskan, selain pemberian vaksin, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan dengan kerjasama proaktif ibu bapa, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan masing-masing.

“Apa yang lebih penting sekarang adalah pematuhan dan pemantauan SOP bagi menghentikan trend jangkitan wabak ini di sekolah. Jadi tidak perlu menutup semua sekolah kecuali yang mempunyai kes COVID-19 bagi tujuan sanitasi dan saringan kontak rapat,” katanya.

Di Selangor, sebanyak 19 sekolah diarahkan tutup pada Selasa lepas berikutan kes jangkitan COVID-19, manakala semua sekolah di Miri, Sarawak tutup selama 14 hari setelah berlaku peningkatan kes dalam kalangan guru dan pelajar.

Sementara itu, dalam menguruskan ketidaktentuan kes COVID-19, sistem hibrid dilihat sebagai satu pendekatan terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan virus itu di sekolah.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi sistem itu, pelajar akan hadir ke sekolah secara bergilir dan sekali gus akan mengurangkan 50 peratus kehadiran pelajar di sekolah.

“Contohnya pelajar tahun satu, dua dan tiga datang ke sekolah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala pelajar tahun empat, lima dan enam datang pada hari Selasa dan Khamis.

“Apabila berlaku kes positif COVID-19 di sekolah, hanya kumpulan pelajar yang positif sahaja yang akan dikuarantin dan pelajar lain boleh datang ke sekolah seperti biasa selepas proses sanitasi selesai,’’ katanya.

Jelas beliau lagi, apabila sistem hibrid dilaksanakan, PdPR juga boleh dilaksanakan secara serentak supaya proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas.

Sistem ini, katanya, boleh dilaksanakan secara berterusan sehingga sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini telah divaksin.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang turut melontarkan pandangan senada, supaya sistem penggiliran dapat dipraktikkan bagi menghadkan jumlah bilangan pelajar di sekolah.

“NUTP mencadangkan agar penggiliran ini dibuat pihak KPM bagi sekolah di kawasan yang tidak berisiko bagi mengurangkan kesesakan agar dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Hanya sekolah yang ada kes dijangkiti COVID-19 sahaja yang perlu ditutup bagi tujuan sanitasi dan NUTP berharap agar penutupan sekolah berisiko ini tidak disulitkan dengan banyak sangat prosedur yang membabitkan banyak pihak,’’ katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button