Berita Utama

12 tahun dibina tapi belum siap, apa nasib SK Long Sukang?

Menteri Pendidikan diminta bertindak, rakyat sudah lama tunggu

KUCHING, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mengkaji semula Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang di daerah Lawas yang masih belum siap meskipun sudah hampir 12 tahun pembinaannya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian berkata, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin perlu mengambil perhatian perkara itu kerana penduduk Long Sukang telah lama menunggu supaya sekolah berkenaan siap dibina.

“Sekiranya masalah air bertakung dan tanah yang mendap tidak dapat diselesaikan, maka kementerian harus mempertimbangkan untuk merobohkan
struktur yang tidak lengkap dan bangunkannya semula di tanah kering yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, baru-baru ini pihaknya melalui kampung Long Sukang dan ternampak bangunan sekolah yang belum siap dibina atau terbengkalai.

Katanya, penduduk kampung memberitahu bahawa mereka tidak mengetahui situasi yang sedang berlaku serta status bangunan berkenaan.

“Saya telah mengemukakan perkara ini berkali-kali di DUN Sarawak, tetapi sehingga hari ini, masih tiada sebarang tindakan lanjut di kawasan itu,” katanya.

Pada masa sama, Baru berkata, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang ketika itu bertugas di Kementerian Pendidikan telah berkunjung ke sekolah itu pada April 2016.

Ketika itu, katanya, projek pembinaan sekolah itu yang disenaraikan di bawah Rolling Plan One melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) akan dilelong semula.

Pada tahun 2017, katanya, Timbalan Menteri Pendidikan, Sains, dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapee ketika itu menjawab soalannya berkata,
tambahan RM19 juta telah diluluskan bagi menyelesaikan baki 30 peratus projek itu.

“Projek bernilai RM25 juta ini telah diluluskan dan dimulakan pada tahun 2009 di bawah Rancangan Malaysia ke-9, dan kita sekarang berada di Rancangan Malaysia ke-12 pada tahun 2021,” katanya, sambil menambah bahawa pembinaan sesebuah sekolah tidak boleh mengambil tempoh 12 tahun untuk disiapkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button