Berita Utama

Akta menghendap tak boleh bertentangan dengan ‘tajassus dalam Islam’

Jangan jadikan alasan untuk tolak perundangan syariah sedia ada

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Kerajaan perlu memastikan akta larangan menghendap yang disyorkan beberapa pihak tidak bertentangan dengan tajassus yang dibenarkan dalam Islam, serta tidak dijadikan alasan pihak berkepentingan untuk menolak perundangan syariah sedia ada.

Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajiain berkata, menghendap atau ‘tajassus’ di dalam Bahasa Arab sememangnya dikategorikan sebagai jenayah dalam Islam. 

Beliau menegaskan, Rasulullah ﷺ sendiri melarang perbuatan tersebut, bahkan ayat Al-Quran secara jelas menolak perbuatan ini. “ولا تجسسوا” daripada surah Al-Hujurat.

Pun begitu, tegasnya, tajassus juga dibenarkan dalam beberapa perkara ‘amar maaruf nahi mungkar’ seperti pensabitan khalwat, minum arak dan lain-lain jenayah yang memerlukan penyaksian. 

“Perkara yang memerlukan amar maaruf nahi mungkar tidak akan membuka jalan kepada jenayah atau bahaya sekiranya dilaksanakan. 

“Termasuk juga perlaksanaan menghendap bagi tujuan yang disebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) agar kerajaan mempercepatkan pindaan Kanun Keseksaan serta memperkenalkan perintah larangan menghendap dalam Kanun Prosedur Jenayah.

WAO berkata, Jawatankuasa Anti-Menghendap yang dianggotainya bersama agensi kerajaan dan Majlis Peguam sudah menyiapkan kertas cadangan mengesyorkan menghendap dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah, tahun lalu.

“Perbuatan menghendap bukan lagi membabitkan kejadian terpencil, malangnya kerajaan masih menangguhkan undang-undang yang kritikal ini.

“Tindakan kerajaan mempercepatkan pindaan Kanun Keseksaan ini mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Azliza berkata, sekiranya desakan untuk memperkenalkan perintah larangan menghendap dilaksanakan, ianya harus dipastikan tidak menghalang pihak berkuasa melaksanakan tugas menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar.

Selain itu, beliau turut menyarankan individu yang menjadi mangsa melaporkan gangguan yang dialami bagi mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib di Talian Kasih 15999.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti WAFIQ juga turut menyediakan platform TeleWAFIQ di https://tele.wafiq.my/, katanya.

“Mangsa gangguan atau penderaan juga boleh menghantar mesej ke +60139249051 bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button