Berita Utama

Keputusan Terengganu iktibar pada semua penerbit filem

Tolak karya berunsur lucah, boleh rosakkan generasi muda

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Rejab 1444H, Sabtu – Keputusan kerajaan Terengganu mengharamkan tayangan filem ‘Pulau’ di semua pawagam negeri itu boleh memberi pengajaran kepada penerbit industri seni supaya tidak sewenang-wenangnya merosakkan budaya dan tatasusila di negara ini.

Ini kerana, filem kontroversi bergenre seram berkenaan sememangnya tidak mencerminkan nilai moral, budaya dan akhlak bangsa Melayu serta umat Islam sebagai majoriti penduduk di Malaysia.

Justeru, langkah Terengganu mengharamkan filem itu wajar dipuji dan dijadikan contoh kepada semua negeri lain, termasuk badan perfileman serta institusi berkaitan, kata Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.

“Saya juga mendesak pihak berkuasa FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) khususnya untuk mengaramkan filem ini masuk ke pawagam-pawagam seluruh negara, meskipun babak-babak yang tidak sepatutnya sudah dipotong,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman menegaskan, langkah itu akan menjadi iktibar kepada semua penerbit filem atau drama supaya peka dan menolak sebarang karya berunsur lucah, seks serta tahyul yang boleh merosakkan generasi akan datang.

“Kalau kita melihat kejayaan filem seperti Mat Kilau yang ternyata tidak perlu menampilkan elemen kotor yang tidak bertamadun ini untuk mendapatkan keuntungan.

“Jadi, saya tidak nampak isunya kalau betul penerbit dapat keuntungan bukan ini caranya dengan merosakkan anak-anak muda, generasi akan datang dengan perkara tidak bertamadun,” katanya.

Semalam, penerbit filem Pulau, Fred Chong dilaporkan bimbang dengan keputusan kerajaan Terengganu yang mungkin akan mempengaruhi negeri-negeri lain.

Chong berkata, pihaknya bersama wakil FINAS akan ke Terengganu dalam masa terdekat bagi membuat rayuan selain menayangkan filem itu kepada wakil kerajaan negeri.

Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem itu, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam seluruh negara bermula 9 Mac depan.

Filem lakonan Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Joey Leong dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler ditayangkan di YouTube memaparkan adegan-adegan panas yang tidak selari dengan budaya Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button