Berita Utama

‘Dulu Melayu dipancing guna songkok, kini agih zakat pula’

Jangan terlampau terhegeh-hegeh dengan ahli politik bukan Islam tanpa batas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Orang Melayu patut sedar diri dan tidak mudah terpancing dengan slogan perpaduan dan keharmonian terutama daripada ahli politik bukan Islam.

Atas sebab itu, menjemput pemimpin non muslim terutamanya wakil rakyat untuk menyampaikan agihan zakat, adalah gambaran terhegeh-hegeh yang melampau orang Melayu.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, dahulu lagi orang Melayu pernah dipancing dengan umpan pemakaian songkok sehingga menyanjung kononnya mereka selangkah memeluk Islam.

“Kesudahannya bukan dia masuk Islam, sebaliknya dia keluarkan Singapura dari Tanah Melayu.

“Kini orang Melayu kembali dipancing cuma bukan lagi dengan memakai songkok tetapi umpan mengagihkan bantuan zakat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menegaskan, bahawa semua tindakan itu hanyalah strategi untuk membeli undi orang Melayu semata-mata.

“DAP cukup sedar mereka sangat memerlukan undi orang Melayu untuk melengkapkan kekuatannya ke Putrajaya sekali lagi.

“22 bulan sebagai kerajaan banyak yang sudah dipelajarinya, berdasarkan kesilapan itu pastinya DAP sudah sedia dengan agenda bangsanya lebih berhati-hati,” katanya.

Ustaz Zamani berpandangan, sebaiknya sebarang penyerahan membabitkan zakat perlulah dilakukan oleh pegawai yang bertanggungjawab tanpa perlu membabitkan golongan politik.

Melainkan sumbangan itu sememangnya dikendalikan di bawah ahli politik atau wakil rakyat, mahupun NGO di bawahnya, katanya.

“Ini bukan sahaja tugas hakikinya malah pegawai zakat terus dapat membina kemesraan dan kasih sayang di antara penerima zakat tersebut.

“Cukup-cukuplah kita kerap tertipu, budaya lemah-lembut dan tolak ansur memang suatu yang mulia di sisi agama.

“Tetapi kita jangan biarkan sifat tersebut tersalah guna sehingga kita menjadi ‘ikan’ yang tidak kenal mata pancing,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button