Berita Utama

Guna duit KWAN dapatkan vaksin, PN perjudi nasib generasi hadapan?

Tok Mat syor kenakan bayaran vaksin ikut harga pasaran pada rakyat mampu

BANGI, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – UMNO bimbang terhadap tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitannya.

Mempersoalkan perkara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk vaksinasi 83 peratus rakyat Malaysia dalam belanjawan 2021.

Katanya, peruntukan untuk Program Imunisasi COVID Nasional itu kemudiannya ditambah menjadi RM5 bilion bagi tujuan mempercepatkan sasaran 80 peratus penduduk menjelang Disember, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?

“KWAN ditubuhkan kira-kira 30 tahun lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi negara semakin menyusut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pindaan ke atas Akta KWAN 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berkaitannya.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 21 April, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.

Bukan hanya tindakan PN itu menggusarkan, Mohamad berkata, ia juga memperlihatkan kerentanan kemampuan kerajaan dalam mengurus krisis COVID-19.

Bahkan, beliau berkata, isu yang berkepentingan nasional itu seharusnya dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak, selain memerlukan ketelusan yang tinggi.

“Setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang.

“Bahkan, tidak ada ruang untuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada pengisytiharan darurat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya masih boleh mempertimbang menawarkan vaksinasi percuma kepada rakyat tidak berkemampuan, dan mengenakan bayaran mengikut kadar harga pasaran bagi yang mampu.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang.

“Persoalannya, wajarkah kerajaan PN mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button