Berita Utama

Zahid ‘dilepas’, tatakelola sudah jadi tatakelaut?

47 pertuduhan satu pun tak sangkut, seolah semua gugur dengan mudah

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kes pertuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad  Zahid Hamidi bukanlah di luar jangkaan, kerana banyak pihak sudah meramalkan akan menjadi kenyataan.

Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, keputusan itu tidak susah untuk dibaca rakyat kerana Ahmad Zahid jelas dilihat terdesak dan bersungguh-sungguh bersama Pakatan Harapan (PH).

Atas sebab itu, beliau percaya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, seolah-olah sudah mencapai apa yang diinginkannya melalui kerjasama dengan gabungan parti berkenaan.

“Persoalan yang menjadi tanda tanya terbesar di sini ialah mengapa daripada 47 pertuduhan, satu pun tidak sangkut dan seolah-olah semuanya gugur dengan begitu mudah secara serentak?

“Mengapakah SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) tidak meneruskan kes sehingga semuanya boleh gugur begitu sekali? Lebih-lebih lagi baru sahaja beberapa hari yang lalu Peguam Negara tamat perkhidmatan dan yang baharu telah dilantik.

“Jelas bahawa di mata rakyat, kewibawaan agensi-agensi ini sudah terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, rakyat kini menunggu respon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang selama ini bermati-matian memperjuangkan tatakelola serta melawan rasuah.

Bahkan, kempen Anwar dan DAP ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu juga, majoritinya hanya mengenai 47 kes pertuduhan mengaitkan Ahmad Zahid.

“Pengundi-pengundi yang menyokong PH kerana mahu pemimpin-pemimpin kerajaan lalu dihukum kerana rasuah dan salah guna kuasa selama ini pasti merasakan diri mereka sudah diperdaya.

“Apa yang lebih merisaukan ialah bukannya soal pertuduhan tidak sempurna tetapi soal kewujudan ‘tangan ghaib’ yang memainkan peranannya,” katanya.

Beliau berkata, jika semua sangkaan itu benar, maka negara masih tidak keluar daripada belenggu praktis tatakelola yang lama, malah menjadi lebih teruk pada pemerintahan kali ini.

“Kalaulah begitu, saya nasihat kepada PM agar bermuhasabah sebaiknya. Sekali dua ada isu tatakelola bolehlah.

“Tetapi apabila sudah banyak kali dan terlalu besar, rakyat akan ketawakan PM sahaja setiap kali beliau buka mulut ‘menggoreng’ bab tatakelola kerana sudah jadi tatakelaut,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, selepas 77 hari dibicarakan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 70, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button