Berita Utama

Jawatankuasa surau minta campur tangan pihak berwajib isu pencerobohan

Susulan usaha merobohkan surau bagi projek pembinaan perumahan

IPOH, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Jawatankuasa Surau Al-Karamah di Kampung Sri Keramat di sini memohon campur tangan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Menteri Besar dan Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi projek pembinaan perumahan.

Setiausaha surau Abdullah Khalbi, 59, berkata pihaknya dimaklumkan surau itu akan dirobohkan pada bila-bila masa sahaja dan akan dibina semula di tapak baharu di Taman Rasa Sayang.

“Dahulu, kawasan ini merupakan kawasan setinggan yang telah dibina awal tahun 1984. Surau ini menjadi rumah ibadat masyarakat Islam setinggan di sini sejak kira-kira 30 tahun lepas dan ia juga sudah dibina sebelum bermulanya projek pembinaan perumahan.

“Bukan itu sahaja, surau ini juga menjadi surau diri Jumaat bagi kariah dan penduduk berdekatan. Jadi adalah tidak adil sekiranya surau ini dirobohkan,” katanya pada sidang media di surau berkenaan hari ini.

Abdullah berkata surau itu akan dipindahkan ke tapak ganti yang tidak dipersetujui jawatankuasa surau kerana lokasi baharu itu tidak mempunyai kepadatan penduduk Islam.

“Kita risau kalau pindah di tempat baharu akan timbul isu seperti laungan azan dan surau ini sepatutnya ditempatkan di kawasan yang penduduknya beragama Islam.

“Surau ini mendapat pengiktirafan daripada MAIPk untuk membenarkan solat Jumaat di sini tetapi kenapa dalam masa yang sama mereka bersetuju dengan cadangan pemaju untuk merobohkan surau ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button