Dunia

Kanada sekat penerbangan dari India, Pakistan

Larangan selama 30 hari sebagai langkah perangi COVID-19

OTTAWA, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Kanada menyekat sementara penerbangan penumpang dari India dan Pakistan selama 30 hari bermula Khamis sebagai langkah ketat memerangi pandemik COVID-19. 

Tindakan itu diambil oleh Perdana Menteri, Justin Trudeu selepas ahli politik negara itu berpandangan bahawa Ottawa tidak mampu untuk memerangi gelombang ketiga jangkitan yang melanda Kanada. 

Bagaimanapun, larangan yang bermula 11.30 malam, tidak mempengaruhi penerbangan kargo. 

India pada Khamis mencatatkan jumlah kes harian tertinggi di dunia iaitu 314,835, di tengah kebimbangan terhadap kemampuan perkhidmatan kesihatan yang semakin lumpuh. 

Menteri Kesihatan Kanada, Patty Hajdu berkata, walaupun warganegara India menyumbang 20 peratus daripada semua kemasukan antarabangsa, mereka mewakili lebih 50 peratus positif ujian saringan yang dilakukan oleh pegawai lapangan terbang. 

“Dengan menyekat perjalanan langsung dari negara-negara ini, pakar kesihatan awam akan mempunyai masa untuk menilai epidemiologi yang sedang berlaku di wilayah itu dan menilai semula keadaan,” katanya. 

Pada masa sama, Menteri Pengangkutan, Omar Alghabra berkata, Kanada tidak akan teragak-agak untuk menyekat penerbangan dari negara lain jika perlu. 

Britain sebelum ini berkata, India akan dimasukkan dalam senarai merah di mana melarang kebanyakan perjalanan ekoran jumlah kes yang meningkat. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button