Berita Utama

Kenapa dijangkiti COVID-19 meski sudah vaksin? Ini jawapan pakar

Patuh SOP perlu diteruskan sehingga capai imuniti kelompok

BANGI, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Pengambilan vaksin tidak akan menjadikan kita seperti ‘Superman’ atau tidak menjamin sama sekali untuk tidak dijangkiti COVID-19.

Ini kerana, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri menyatakan bahawa individu yang dilaporkan mendapat jangkitan selepas menerima vaksin COVID-19 mengalami gejala yang kurang serius berbanding mereka yang belum menerima vaksin.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat jangkitan, walaupun sudah menerima suntikan vaksin?

Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, imuniti terhadap COVID-19 tidak terbentuk sejurus penerimaan dos pertama atau kedua.

Jelasnya, imuniti penuh pula memerlukan beberapa minggu selepas dos kedua.

Bagaimanapun, katanya, kadar imuniti dipengaruhi beberapa faktor dalaman individu seperti kebolehannya menghasilkan tindak balas terhadap antigen daripada vaksin terbabit untuk membina imuniti.

“Antara faktor luaran yang paling utama pula ialah kadar jangkitan yang masih tinggi dalam komuniti kita. Sekiranya ramai mendapat suntikan vaksin, imuniti kelompok akan tercapai dan ramai akan mendapat perlindungan daripada dijangkiti.

“Antara sebab lain ialah kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan yang harus diamalkan, walaupun selepas menerima vaksin COVID-19.

“Laporan dari negara lain yang turut mencatatkan kes baharu dalam kalangan penerima vaksin, menyatakan bahawa individu yang sudah menerima vaksin ini mempunyai persepsi bahawa mereka sudah pun selamat daripada pandemik,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Tambahnya, antara soalan yang kerap ditanya oleh masyarakat ialah sekiranya terdapat keperluan menggunakan pelitup muka dan bebas bersalaman dengan individu lain setelah mendapat vaksin.

Jelasnya, amalan pencegahan tetap perlu dilakukan meskipun selepas menerima vaksin COVID-19.

“Kesimpulannya, jangkitan masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang mendapat vaksin, namun kadarnya jauh lebih rendah dan jangkitan dialami juga tidak serius berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin.

“Justeru, kepatuhan kepada SOP hendaklah diteruskan sehingga imuniti kelompok tercapai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button