Berita Utama

KPM diminta pertimbang cuti kuarantin pada guru kontak rapat COVID-19

Proses dapatkan surat kuarantin daripada PKD ambil masa lama

KUALA LUMPUR, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mempertimbangkan untuk memberi cuti kuarantin kepada guru yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 tanpa perlu menunggu surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, proses mendapatkan surat tersebut memakan masa yang lama sedangkan kuota cuti rehat khas (CRK) yang diperuntukkan kepada guru tidak mencukupi.

“Semua sedia maklum, kes penularan virus COVID-19 telah meningkat di negara kita dan semakin ramai individu yang telah dijangkiti wabak ini menyebabkan proses untuk mendapatkan surat kuarantin daripada PKD mengambil masa yang lama.

“Sedangkan kuota CRK yang diperuntukkan untuk guru-guru adalah tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan guru-guru yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 tiada pilihan lain selain perlu hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa.

“Atas faktor inilah kebolehjadian mudahnya virus ini tersebar dengan lebih luas di kalangan warga sekolah dan paling membimbangkan adalah risiko buat murid yang kurang daya ketahanan badan,” katanya.

Sehubungan itu, NUTP berharap KPM dapat mengkaji perkara ini dan merumuskan jalan terbaik untuk membantu guru yang terkesan.

“Guru-guru yang diberi cuti kuarantin boleh menjalankan PdPR secara ’offline’ seperti membuat rakaman pengajaran dan anak murid juga boleh meneruskan pembelajaran apabila berada di rumah,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 26 kluster melibatkan sekolah menengah, sekolah rendah dan pusat tahfiz serta madrasah dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button