Berita Utama

Syor kompaun sekolah cetus kluster COVID-19 tak wajar

Semua pihak perlu bekerjasama patuhi SOP ditetapkan KPM, MKN, KKM

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Ramadan 1442H, Jumaat – Cadangan mengenakan kompaun terhadap sekolah yang mencetuskan kluster baharu COVID-19 adalah tidak wajar, kerana akan menghilangkan fokus kepada pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan tidak menolak kemungkinan tindakan kompaun itu akan turut membebankan pihak sekolah, khususnya warga guru dan murid sehingga membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Sekiranya semua langkah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diambil dengan penuh tanggungjawab, namun masih terdapat kes jangkitan, maka tidak wajar sekolah dihukum atau guru dipersalahkan.

“Ini kerana mereka adalah petugas barisan hadapan yang penting dalam pendidikan.

“Sekiranya ada sekolah yang culas dan abai kepada SOP serta sudah diberikan amaran, mungkin kompaun boleh dikenakan dengan alasan peringatan sudah dikeluarkan.

“Ia hanya boleh dikenakan sebagai langkah terakhir setelah tiada pilihan lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, polis memaklumkan akan mengeluarkan kompaun terhadap sekolah yang mencetuskan kluster baharu COVID-19 jika berpunca daripada pengabaian SOP.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata langkah itu untuk membendung penularan pandemik COVID-19 di semua sekolah di Pahang.

Bagaimanapun, katanya, kompaun yang dikeluarkan itu adalah tindakan terakhir selepas pelbagai langkah dilakukan tidak dapat dipatuhi pihak sekolah terbabit.

“Oleh itu, polis menasihati supaya semua pihak iaitu pasukan pemantau, penguat kuasa dan ibu bapa untuk memastikan sekolah bebas daripada kluster COVID-19.

“Kita tidak mahu Pahang termasuk antara negeri yang sekolah terpaksa ditutup akibat COVID-19 selain bimbang jika berlaku kluster baharu di sekolah,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Mohd Azizee berkata, cadangan mengenakan kompaun itu perlu diperhalusi sebaik-baiknya serta mendapat maklum balas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan daripada timbulnya sebarang isu-isu lain.

Katanya, langkah terbaik yang boleh dilakukan ketika ini adalah kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan pematuhan yang tinggi kepada SOP yang ditetapkan oleh KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, langkah mengelakkan dan membendung jangkitan bukan sahaja terletak pada pihak pentadbir, malah individu yang mempunyai kaitan dengan sekolah seperti ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Begitu juga guru-guru berperanan memastikan murid- murid patuh kepada SOP untuk mengelakkan penularan jangkitan dan sekolah berada dalam keadaan selamat.

“Termasuk juga ibu bapa perlu memberikan kerjasama yang baik kepada pihak sekolah dengan memaklumkan kepada pihak sekolah jika berlaku sebarang kes jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button